Showing posts with label melange. Show all posts
Showing posts with label melange. Show all posts

Monday, 7 January 2013

Bongkud melange & ophiolite

Foto melange di Jalan Poring ke Marak Parak (Kg. Bongkud), runtuhan batuan dapat dilihat dengan jelas di sepanjang jalanraya tersebut sehingga projek jalan yang sepatutnya siap dalam RMKe-( masih belum juga dapat digunakan seperti yang sepatutnya.

Foto serpentinit-peridotit (ultrabasik) yang ditemui di jalan sama, masih segar dan berwarna hijau kekelabuan. Batuan ini mempunyai pecahan yang kecil dan agak stabil, jadi tidak memerlukan kos yang tidak sepatutnya dengan meng"shortcrete",permukaannya..kalu nak habiskan duit tak apelah..cuma kalau jalan tu masih teruk tu nasib penduduk yang menanggungnya...

Berapa kos? cuba teka? boleh buat tar jalan dah kut....



Sunday, 6 March 2011

Melange Lahad Datu, Sabah


Mélange ditakrifkan sebagai satu jasad batuan yang rumit dan kusut yang telah mengalami perlipatan, penyesaran dan telah termetamorf dengan hebat di sempadan kepingan kerak bumi yang menumpu (Ibrahim Abdullah dan Juhari Mat Akhir, 1990).

Menurut Tjia (1990), melange merupakan sekumpulan batuan yang terdiri daripada klasta kecil hingga besar daripada pelbagai litologi dan punca di dalam matriks berbutiran halus yang tericih. Batuan ini merupakan breksia tektonik yang dihasilkan oleh canggaan ke atas batuan terkonsolidat yang terletak di bawah batuan penutup. Kebanyakan mélange terhasil daripada canggaan ke atas isian parit lautan di dalam zon subduksi. Ianya sering berkaitan dengan olistostrom dan ofiolit di mana klastanya boleh mencapai sebesar bukit dan terdiri daripada litologi asing di dalam matriks berbutiran halus (pasir hingga lumpur).

Clement (1959) serta Haile and Wong (1965) memperkenalkan nama Formasi Ayer yang merujuk kepada batuan yang mengandungi struktur nendatan dan breksia yang terdiri daripada selang-lapis tuf – tufit – batu pasir – syal – konglomerat – batu kapur di mana lokaliti keratan rujukan terletak di ulu Sg. Ayer, Semenanjung Dent. Pada asalnya ianya dinamakan Formasi Segama Utara oleh Leicester (1936) dengan Ahli Basal merupakan Ahli Batu Kapur Tempadong tetapi telah diubah oleh Reihard dan Wenk (1951). Batu Kapur Tempadong dan Ahli Volkanik merupakan ahli di dalam formasi ini.

Clennell (1992) membuat kajian terkini berkenaan Melange di Sabah di dalam tesisnya “The Melanges of Sabah, Malaysia”. Beliau merujuk kepada pelbagai jenis batuan seperti batu pasir, batu lumpur, batu lodak, serpentinit, opkalsit, basalt, batu hijau (greenstone), aglomerat, rijang, batu kapur, tonalit, diorit, amfibolit dan lain-lainnya di dalam matriks berbutiran halus yang kemudiannya mengalami canggaan kompleks.

Kajian terkini di kawasan Lahad Datu mendapati mélange terdiri daripada bongkah-bongkah batuan yang pelbagai saiz antara 1m hingga 30m terbenam di dalam matriks berbutiran halus. Bongkah-bongkah batuan tersebut terdiri daripada batu kapur, rijang, batu lumpur, batu pasir, konglomerat, syal, batuan volkanik seperti andesit, dasit dan tuf. Matriks pula adalah syal merah hingga syal hitam, batu lodak kelabu hingga coklat, pasir halus hingga sederhana kasar. Batuan ini ditemui di kawasan Kg. Sepagaya, Kg. Jawa, Kg. Jawa Baru, Kg. Kenangan, Kg. Tamoi, Kg. Buang Sayang, Teck Guan Estate, Kg. Bt. Belacon, Fidlot Segama, Taman Fajar, Taman Idaman Sara, Kg. Durian, Kg. Durian Baru, Taman Perdana (jalan Lahad Datu – Kunak), Hospital Lahad Datu, Kg. Air Panji, Pekan Tabanak, Kg. Ipit, jalan Edam - Kg. Segama, Jalan Golf dan jalan Lahad Datu – POIC.