Tuesday 15 March 2011

Taburan batuan ofiolit di Sabah

Rijang Formasi Trusmadi



Rijang Formasi Trusmadi tersingkap di Sungai Liodan (berhampiran Kg. Lagup, Kundasang, Sabah).  Rijang tersebut adalah jenis berjalur (banded chert)  di antara lapisan nipis bewarna merah-merah gelap- kelabu- kelabu kehijauan. Rijang adalah penunjuk kepada sekitaran laut dalam, di mana ini menunjukkan formasi ini terenap di dalam lautan yang dalam yang terhasil daripada aktiviti gunung berapi awal di pertembungan kerak lautan (di mana ofiolit terbentuk di kawasan Ranau-Telupid). Foto di atas merupakan petrografi rijang (adakah anda dapat mempastikan radiolaria di dalamnya?). Pemineralan sekunder juga berlaku dengan kehadiran mineral kuartza halus,berstruktur bulat atau cincin (proses metamorfisme. 

Monday 7 March 2011

gabro

Gabro Sg. Taliwas, Lahad Datu, Sabah. Gabro tersebut berjaluran dengan batuan ultrabasik, granit, syis amfibolit, andesit dan dasit. Kajian petrografi gabro menunjukkan ianya mempunyai tekstur dalaman seperti mikrografik, porfiritik dan granofirik

Sunday 6 March 2011

Peridotit

Peridotit Gunung Silam, Lahad Datu, Sabah.  Kandungan mineral utamanya adalah olivin, piroksen dan plagioklas di dalam kumpulan ultramafik dan ultrabasik.

Ofiolit, Lahad Datu, Sabah, Malaysia


Menurut Yoder (1979) dan Barth (1952), batuan ofiolit merupakan batuan asosiasi kerak lautan, bahagian mantel atas dan enapan laut dalam yang terlibat di dalam proses perebakan lantai lautan ataupun subduksi, yang kemudiannya mengalami pengangkatan dan tersingkap bersama batuan kerak benua. Asosiasinya adalah terdiri daripada rijang, syal hitam, lava bantal, diabes, basalt tholeiitik, serpentinit, peridotit (harzburgit dan iherzolit), serta mineral kromit yang pada mulanya dijumpai di Alps dan Cyprus serta di beberapa bahagian dunia yang lain. Batuan ofiolit ini juga pernah dikaitkan dengan pembentukan lembangan geosinklin di dalam Teori Geosinklin tetapi ianya sukar diterima memandangkan batuan asosiasinya yang kompleks. Terdapat juga perlapisan batuan di antara mafik-ultramafik seperti lava basalt-perodotit-dunit dan batuan sedimen. Serpentinit merupakan hasil alterasi batuan peridotit iaitu perubahan ke atas mineral piroksen-olivin pada suhu tinggi. Penggunaan nama ofiolit ini telah digunapakai untuk menerangkan kewujudan batuan jenis ini terutamanya di Alps (Perancis), Papua New Guinea dan Jepun  yang mana ianya melibatkan zon jaluran subduksi Pasifik. 

Tjia (1990) pula memberikan contoh ofiolit yang terdapat di Cyprus dan Papua New Guinea dan mengaitkannya dengan zon subduksi, obduksi dan Teori Tektonik Keping. Beliau mengaitkan zon-zon tersebut sebagai suatu zon sutura dan zon ricihan dengan kehadiran glaukofen di dalam syis biru. Penentuan usia menunjukkan batuan igneus adalah lebih tua daripada batuan sedimen dan metamorfik. Beliau menyimpulkan bahawa kejadian ofiolit berkaitan dengan banjaran lautan dan arka kepulauan.

Fitch (1955) melaporkan bahawa terdapat tiga(3) fasa terobosan batuan volkanik di kawasan Lembah Segama – Teluk Darvel iaitu dua fasa pertama berlaku semasa di bawah laut dan fasa terakhir berlaku di atas daratan. Fasa pertama penerobosan ialah semasa usia Kapur hingga Eosen Awal terdiri daripada batuan spilit, basalt, tuf, aglomerat, lava bantal dan konglomerat volkanik. Fasa kedua pula semasa Miosen Awal di mana berlakunya terobosan andesit, tuffit dan aglomerat. Fasa akhir berlaku pada masa Kuaterner (Pleistosen) melibatkan terobosan basalt, riolit, andesit dan tuf di kawasan daratan.

Kompleks ofiolit kawasan ini telah dikaji oleh beberapa pengkaji yang lain dan mencadangkan beberapa nama untuk menggambarkannya. Leong (1974) melaporkan bahawa Dhonau and Hutchison (1966) menggunakan penamaan “Silumpat Gneiss Formation” untuk menerangkan kewujudan campuran batuan ini semasa era Teori Geosinklin. Leong (1974) juga menerangkan bahawa Reihard and Wenk (1951) menggunakan nama “Crystalline Schists”. Rujukan sebagai batuan ofiolit juga telah diketengahkan pada masa tersebut untuk menggambarkan betapa kompleksnya batuan tersebut.

Kirk (1968) menerangkan dengan jelas kehadiran ofiolit di dalam Bab 6: Upper Cretaceous and Tertiary Intrusive Ophiolithic Rocks dan Bab 10: Regional Relationships, di mana asosiasi batuan ofiolit ini mengalami penyesaran dan pengangkatan serta pembreksiaan yang kuat. Beliau memetakan batuan ultrabasik di seluruh Sabah dan Sarawak sebagai penanda kehadiran ofiolit disamping batuan spilit yang menjadi bukti peristiwa tersebut. Kehadiran pemineralan tembaga (Cu) juga dikaitkan dengan kehadirannya di dalam batuan ofiolit ini di kawasan seperti Bidu-Bidu, Pinanduan dan lain-lain. 

Melange Lahad Datu, Sabah


Mélange ditakrifkan sebagai satu jasad batuan yang rumit dan kusut yang telah mengalami perlipatan, penyesaran dan telah termetamorf dengan hebat di sempadan kepingan kerak bumi yang menumpu (Ibrahim Abdullah dan Juhari Mat Akhir, 1990).

Menurut Tjia (1990), melange merupakan sekumpulan batuan yang terdiri daripada klasta kecil hingga besar daripada pelbagai litologi dan punca di dalam matriks berbutiran halus yang tericih. Batuan ini merupakan breksia tektonik yang dihasilkan oleh canggaan ke atas batuan terkonsolidat yang terletak di bawah batuan penutup. Kebanyakan mélange terhasil daripada canggaan ke atas isian parit lautan di dalam zon subduksi. Ianya sering berkaitan dengan olistostrom dan ofiolit di mana klastanya boleh mencapai sebesar bukit dan terdiri daripada litologi asing di dalam matriks berbutiran halus (pasir hingga lumpur).

Clement (1959) serta Haile and Wong (1965) memperkenalkan nama Formasi Ayer yang merujuk kepada batuan yang mengandungi struktur nendatan dan breksia yang terdiri daripada selang-lapis tuf – tufit – batu pasir – syal – konglomerat – batu kapur di mana lokaliti keratan rujukan terletak di ulu Sg. Ayer, Semenanjung Dent. Pada asalnya ianya dinamakan Formasi Segama Utara oleh Leicester (1936) dengan Ahli Basal merupakan Ahli Batu Kapur Tempadong tetapi telah diubah oleh Reihard dan Wenk (1951). Batu Kapur Tempadong dan Ahli Volkanik merupakan ahli di dalam formasi ini.

Clennell (1992) membuat kajian terkini berkenaan Melange di Sabah di dalam tesisnyaThe Melanges of Sabah, Malaysia”. Beliau merujuk kepada pelbagai jenis batuan seperti batu pasir, batu lumpur, batu lodak, serpentinit, opkalsit, basalt, batu hijau (greenstone), aglomerat, rijang, batu kapur, tonalit, diorit, amfibolit dan lain-lainnya di dalam matriks berbutiran halus yang kemudiannya mengalami canggaan kompleks.

Kajian terkini di kawasan Lahad Datu mendapati mélange terdiri daripada bongkah-bongkah batuan yang pelbagai saiz antara 1m hingga 30m terbenam di dalam matriks berbutiran halus. Bongkah-bongkah batuan tersebut terdiri daripada batu kapur, rijang, batu lumpur, batu pasir, konglomerat, syal, batuan volkanik seperti andesit, dasit dan tuf. Matriks pula adalah syal merah hingga syal hitam, batu lodak kelabu hingga coklat, pasir halus hingga sederhana kasar. Batuan ini ditemui di kawasan Kg. Sepagaya, Kg. Jawa, Kg. Jawa Baru, Kg. Kenangan, Kg. Tamoi, Kg. Buang Sayang, Teck Guan Estate, Kg. Bt. Belacon, Fidlot Segama, Taman Fajar, Taman Idaman Sara, Kg. Durian, Kg. Durian Baru, Taman Perdana (jalan Lahad Datu – Kunak), Hospital Lahad Datu, Kg. Air Panji, Pekan Tabanak, Kg. Ipit, jalan Edam - Kg. Segama, Jalan Golf dan jalan Lahad Datu – POIC.